![]()  | 
| Tempe | 
Salam perkongsian untuk semua pengungjung blog ini, semoga sihat walafiat berada di dalam lindunganNYA. 
 Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang  perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat  tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya  sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan  tempe yang dibuatnya sendiri.
 Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap  untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang  diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh  jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak.  Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum  masak lagi.
 Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum  menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu.  Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah  teringat akan firman ALLAH yang menyatakan bahawa ALLAH dapat melakukan  perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun  mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Ya ALLAH , aku memohon  kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin”
 Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia  sangat yakin bahawa ALLAH pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang  perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung  jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan  keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika  sebab kacang tu masih tetap kacang soya.
 Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang  jelas didengar oleh ALLAH. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya  semula dan berdoa lagi. “Ya ALLAH, aku tahu bahawa tiada yang mustahil  bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana  inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini  kepada tempe, Amin”.
 Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit  bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila  tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi  sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak  kecewa atas doanya yang belum terkabul. 
 Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang  untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua  itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil  berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan  masak.
 Dia berfikir mungkin keajaiban ALLAH akan terjadi semasa  perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat  kedua tangannya untuk berdoa. “Ya ALLAH, aku percaya, Engkau akan  mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau  kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia  pun berangkat. Disepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa berdoa di  dalam hatinya. 
 Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya.  Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi.  Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan  menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.
 Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat  isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun  terkejut seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah  mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada ALLAH kerana doanya  tidak dikabulkan.
 Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah  satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma  duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan  bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.  Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para  pembeli sudah mula kurang.
 Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka  sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi  kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang.  Namun jauh disudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada ALLAH,  pasti ALLAH akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia  tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali  terakhir, “Ya ALLAH, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku  yang belum menjadi ini.”
 Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. “Maaf ya,  saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi?  Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi  masih belum berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika.  Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah  seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi.
 Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia  berdoa di dalam hatinya”Ya ALLAH, saat ini aku tidak mahu tempe ini  menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.
 Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun  penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar  tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan  bersyukur pada ALLAH. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya  yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya  wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?”
 Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England  teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan  ke England,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya  apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau  dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah  tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.
 Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh ALLAH…
 Apa yang kita boleh rumuskan dari cerita di atas ?
 1. Kita sering memaksakan kehendak kita kepada ALLAH sewaktu berdoa,  padahal sebenarnya ALLAH lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa  yang terbaik untuk diri kita.
 2. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai  hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang  dipinta. Percayalah bahawa ALLAH akan mengabulkan doa kita sesuai dengan  rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
 3. Tiada yang mustahil bagi ALLAH
 4.  Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak  pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU ,  menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan  kearah kebaikan…



0 comments:
Post a Comment